Rabu, 6 Oktober 2010

Tayar Haus Antara Punca Kenderaan Bergetar


Ada ketikanya pemandu kereta tidak selesa apabila stereng yang dipegang bergetar dan tidak stabil kerana berat ke sebelah kiri atau kanan. Lebih merisaukan apabila seluruh badan kereta ikut bergetar.

Apabila berhadapan dengan keadaan ini, antara sebab utama kerosakan yang berlaku diberi perhatian termasuk tekanan tayar depan terlalu rendah atau ukurannya tidak sama, kehausan tayar depan tidak sama, kehausan atau kelonggaran sambungan sistem kemudi atau kotak gear stereng bergoyang, penyelarasan jajaran roda depan kurang tepat dan roda depan tidak seimbang.


Jika menghadapi masalah seperti itu pemandu dan penumpang pasti tidak selesa, lebih-lebih lagi jika sedang dalam perjalanan jauh. Untuk itu, punca kerosakan dan getaran perlu diketahui. Apabila memandu kenderaan penumpang atau trak, terutama trak kecil diatas jalan kasar atau rosak, biasanya akan terasa ada goncangan sehingga stereng perlu dipegang dengan kuat. Namun demikian, anda juga dapat merasakan adanya getaran atau goncangan pada stereng dan badan kenderaan walaupun keadaan jalanraya datar dan baik, pada suatu kelajuan antara 70 kilometer sejam (kmj) dan 80km.

Keadaan sebegini dinamakan 'shimmy'. Jadi, jika berhadapan dengan keadaan begini mula-mula periksalah tekanan tayar depan, keadaan sistem kemudi atau skru roda depan. Kemudian periksa kehausan tayar depan, sebaik-baiknya masih mempunyai rusuk bunga dengan tebal sekurang-kurangnya 2mm.

Gunakan tayar baru untuk perjalanan keluar bandar. Ada kemungkinan getaran yang berlaku boleh dihilangkan apabila tayar yang sudah haus diganti dengan tayar baru atau setelah tayar kiri-kanan ditukar kedudukannya. Namun demikian, jika getaran masih terasa juga, sebaiknya pemeriksaan dilakukan dengan lebih teliti kerana dibimbangi kerana disebabkan kehausan atau kelonggaran pada sistem rod kemudi dan sistem gantungan depan; atau kerana penyelarasan penjajaran roda depan yang kurang tepat hingga menyebabkan roda tidak seimbang. Untuk memeriksa dan membuat pembaikan bagi masalah berkenaan diperlukan alat dan kemahiran. Roda tayar dilengkapi satu alat pengimbang. Alat itu menunjukkan letak dan besarnya pengimbang yang harus dipasang pada rim roda.

'Shimmy' boleh terjadi apabila roda tidak dikunci dengan baik pada tempatnya, atau rod gandar tidak segaris dengan lubang pada roda. Jadi, banyak faktor yang boleh menyebabkan 'shimmy'; beberapa kesalahan dapat diperbaiki dengan mudah tetapi ada pula yang memerlukan kepakaran tertentu untuk mengatasinya.

Sumber Maklumat: http://www.kereta2u.blogdrive.com/archive/1.html

Selasa, 5 Oktober 2010

Jangan Memonopoli Jalan Raya


Pembolot jalan ditakrifkan sebagai mereka yang menggunakan lorong laju sambil menghalang kelancaran perjalanan kereta di belakang.

Pembolot jalan akan menyebabkan pemandu lain hilang sabar, dan mereka mungkin bertindak melulu ataupun cuba memotong jalan secara merbahaya.

Ramai orang tidak sedar mereka memboloti jalan. Mereka tidak sedar betapa bahayanya perbuatan sebegini.

Jika anda tidak memandu dengan laju ataupun tidak memotong, sila gunakan lorong kiri. Jika anda di lorong kanan, dan kereta di belakang menghampiri anda, maka anda harus beralih ke lorong lain untuk memberi laluan.

Bersopan di jalan raya dan perjalanan menjadi lebih lancar. Ikut kiri jika tidak memotong.

Ahad, 3 Oktober 2010

Hendak mencelah atau sayangkan nyawa

Perbuatan bertukar-tukar lorong dan memotong keluar masuk trafik disifatkan sebagai mencelah-celah.
Membawa motosikal secara mencelah-celah amat merbahaya, Malah pemandu motosikal profesional tidak mengesyorkan perangai sebegini di jalan raya.
Keadaan di jalan raya yang tidak menentu, serta tindakan pengguna jalan raya yang lain tidak boleh diramal memang menambah lagi bahaya perbuatan mencelah-celah ini.
Ingat: motosikal anda hanya diimbangkan atas sepasang roda, dan maka itu amat mudah tumbang. Sebiji batu, lopak bertakung, malah keadaan jalan yang berminyak pun boleh menyebabkan anda hilang kawalan.
Perbuatan mencelah-celah tidak akan membawa anda ke tempat yang dituju dengan lebih cepat. Malahan ia membahayakan orang lain. Bersabarlah. Jangan asyik bertukar-tukar lorong.

Sabtu, 2 Oktober 2010

8 Petua Keselamatan Jalan Raya


  1. Rancang perjalanan anda terlebih dahulu. Jika anda letih, mengantuk, mabuk atau tidak fokus, tangguhkan perjalanan anda.
  2. Sentiasa ikut had laju yang ditentukan.
  3. Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong. Periksa cermin sisi dan cermin pandangan belakang sebelum melakukan pertukaran lorong.
  4. Sentiasa patuhi peraturan jalan raya di simpang dengan berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning dan beri keutamaan kepada pejalan kaki.
  5. Elakkan daripada mengekori kenderaan lain pada sepanjang masa kerana ini sering menjadi punca kemalangan yang serius.
  6. Patuhi garis panduan keselamatan semasa memotong. Jangan memotong jika teragak-agak.
  7. Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan. Ia bukan sahaja biadap tetapi membahayakan semua pengguna.
  8. Elakkan mencelah di antara kenderaan kerana ini membahayakan keselamatan anda dan orang lain.
 
    Related Posts with Thumbnails